Didaktik 40

Comments: Comments Off
Published on: 16/08/2010

Percaya atau tidak dalam diam ada yang memerhati akan pergerakan kita. Apa yang kita lakukan. Segala perubahan yang berlaku terhadap diri kita dinilai oleh mereka yang berada di sekeliling kita. Ya, itu lah yang berlaku. Setiap orang merasainya.

Maka akan timbullah konflik di antara dua insan yang bergelar manusia. Daripada dua akan bertambah tiga, daripada tiga akan bertambah empat, daripada empat akan bertambah dan tambah dan tambah lagi.

Banyak ruangan yang aku membaca, banyak wadah atau perkongsian yang aku telaah. Tak berani aku nak buat kesimpulan. Yang penting kita nilailah mana yang baik, mana yang buruk untuk kita gunakan sepanjang kehidupan kita.

Aku sering mengatakan jangan mudah menuding jari kat orang, jangan mudah buat kesimpulan ke atas diri seseorang sedangkan aku sendiri masih lagi cuba untuk mengatasi sikap sedemikian rupa.

Perasan atau tidak kita lebih mudah mengajak orang melakukan perkara yang mendatangkan keaiban ke atas diri orang. Jika kita cerita keburukan pasti ramai yang hendak tahu. Jika kita cerita kebaikan seseorang susah orang hendak percaya. Sama ada kita sedar atau tidak perkara ini berlaku di mana-mana sahaja.

Tadi sempat bersembang dengan seorang rakan. Yang dah lama juga aku tak berjumpa dengan beliau. Kebetulan hari ini berbuka di luar atas undangan abg aziz. Last minute aku keluar juga untuk tidak menghampakan pelawaan rakan. Selesai berbuka aku ambil keputusan untuk berjemaah di Masjid berdekatan. Terserempak pula dengan Azman di dalam Masjid dan sempat berseloroh biasa balik terawih dia ngeteh sorang2. Ada can aku sembang dengan beliau malam ni.

Selesai solat tarawih kami pun pergi ke warung di persimpangan jalan. Sepanjang perbualan kebanyakan perkara bertumpu ke arah sikap diri sendiri. Yang seringkali memikirkan halangan. Bukan memikirkan jalan untuk menyelesaikan halangan tersebut.

Yang sentiasa menjadi persoalan ialah sampai bila kita harus memikirkan halangan? Selagi kita hanya memikirkan tanpa usaha atau tindakan untuk mencari jalan menyelesaikan halangan sampai ke sudah lah takkan berhasil. Kerana apa yang kita fikirkan itu sebenarnya memang akan terjadi sebab itu adalah pemikiran kita, dan itulah hasilnya. Dan aku sendiri akui aku juga masih lagi bersikap sedemikian. Nak hapuskan pemikiran sedemikian bukannya mudah. Cakap memang boleh cakap, tetapi sejauh mana kita amalkan?

Aku lebih suka bercakap untuk diri aku sendiri berbanding untuk orang lain. Bukannya apa, bukan semua orang boleh terima dengan pandangan kita dan bukan semua orang juga yang tak bersetuju dengan pendapat kita.

Aku teringat satu kata-kata penulis buku yang menyatakan bahawa untuk mendapatkan hasil buah yang baik semestinya benih yang di tanam itu adalah benih yang baik. Yang diberi maksud benih itu adalah pemikiran kita. Jika kita fikir kita mampu lakukan memang hasilnya kita boleh lakukan. Jika kita fikir banyak halangan maka hasilnya banyaklah halangan yang akan timbul. Pokok pangkalnya ada pemikiran kita. Dan biasanya apa yang kita fikirkan adalah berdasarkan pengalaman, pengetahuan serta pengaruh sekeliling kita.

Maaf cakaplah, sepanjang aku membesar memang lebih banyak terdedah dengan pemikiran yang negatif. Bila kita suarakan pandangan pasti akan ada cadangan agar kita ambil masa untuk berfikir agar nanti tak menyesal di kemudian hari. Memang benar, tapi segala-galanya jika kita tidak lalui takkan merasai pengalamannya. Cerita orang yang merasa dengan cerita orang yang tak rasa banyak bezanya. Itupun jika kita ada ilmu untuk menilainya.

Selamat Berpuasa, mudah-mudahan puasa kali ini memberi banyak keberkatan terhadap diri kita, keluarga kita dan masyarakat keseluruhannya.

zp8497586rq


Comments are closed.

Welcome , today is Saturday, 03/12/2016