Didaktik 33

Comments: Comments Off
Published on: 07/06/2010

Alhamdulillah, diam tak diam dah sampai ke siri 33. Kalau nak diikutkan memang setiap hari aku nak menaip di blog ini. Namun kadang-kadang faktor masa dan diri aku sendiri yang kadangkala tak punya kekuatan untuk menulis setiap hari. Setiap bait-bait tulisan ini perlu difikirkan kesan baik buruknya.


Memanglah tak ramai yang membaca, tetapi setiap orang ada pandangan dan pendapatnya sendiri. Apa yang pasti banyak hati yang perlu dijaga lebih-lebih lagi darah daging sendiri, kawan, sahabat, rakan dan semua orang yang membacanya.

Bukan niat di hati untuk mengajar, menasihat dan sebagainya. Berulang kali aku mengatakan siapalah aku jika nak dibandingkan dengan orang lain. Siapalah diri kita ini sebenarnya. Semakin hari kita kenal diri kita, semakin kecil kita rasa. Kita nih manusia semulia-mulia makluk yang dijadikan Allah s.w.t. Namun tahukah kita sebesar mana Allah s.w.t memandang kita di muka bumi ini?? Sebesar zarah kuman agaknya.

Ramai orang selalu sebut, hidup di dunia ini cuma pinjaman sahaja. Namun, adakah mereka itu sedar atau tidak? Adakah mereka bertindak atas percakapan mereka? Mulut memang senang untuk berbicara namun tindakan itu amat sukar sekali untuk kita melaksanakannya.

Aku teringat hadis Nabi Muhammad S.A.W. yang seringkali bos aku selitkan dalam ucapan beliau;

Dalam Kitab Sahih Muslim, hadis 2889 disebut (mafhumnya): “Suatu hari Rasulullah s.a.w. singgah di masjid Bani Muawiyah, ditunaikan solat sunat dua rakaat bersama sahabat, selepasnya baginda berdoa panjang dengan doa yang panjang. Selepas berdoa baginda berpaling ke arah sahabat dan bersabda, “Saya berdoa kepada Allah, tiga perkara, Allah tunaikan dua sahaja dan menolak yang satu lagi.
1. Saya memohon agar umat Muhammad tidak dibinasakan dengan kelaparan, Allah tunaikan.
2. Saya memohon agar jangan mereka dibinasakan dengan banjir yang menenggelamkan mereka, Allah tunaikan.
3. Namun apabila saya berdoa agar jangan mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri, Allah tidak tunaikan.”

Apa kaitan hadis ini dengan apa yang aku maksudkan di atas? Banyak dan terlalu banyak pengajaran yang aku dapat. Bila aku jalankan perniagaan ini terlalu banyak pengajaran yang tersirat aku temui. Puas aku cari jawapan sebelum ini namun aku tak ketemui. Apabila aku berada di Network Marketing baru lah aku sedar patutlah berlaku perpecahan sesama manusia, lebih-lebih lagi dikalangan umat Islam.

Faktor yang paling besar yang menyebabkan perpecahan itu berlaku adalah sikap. Sikap siapa? Buat apa nak cakap sikap orang lain, cuba kita kaji diri kita sendiri terlebih dahulu. Adakah sikap kita ni baik? Pada pandangan kita memanglah semuanya baik. Tetapi cuba kita bertanyakan pada orang lain. Kepada mereka yang kawan dengan kita akan memuji kita itu ini. Tetapi yang sebenarnya kawan, adalah apabila mereka sanggup memberi kritikan membina pada diri kita, yang sentiasa menegur kesilapan kita. Tetapi naluri nafsu kita memang lebih suka dipuji berbanding ditegur.

Teman-teman yang dikasihi Allah S.W.T, apa yang aku dapat lihat, sikap yang perlu kita ubah mulai hari ini adalah sikap kita yang selalu sahaja nak menyalahkan orang lain. Itu yang lebih utama. Mahu tidak mahu kita perlu berubah sikap itu terlebih dahulu. Jika kita mampu berubah Insya Allah, kebaikan sikap-sikap yang lain akan menyusul.

Masalahnya sekarang, ramai sangat yang bijak pandai. Ramai sangat yang ilmunya di dada sampaikan semua perkara mereka tahu. Merekalah yang lebih mengetahui tiada yang lain kecuali mereka. Bagaimana untuk menerangkan kepada orang-orang yang sebegini? Bagaimana kita nak terangkan agar mereka faham tentang sikap ini?

Cuma satu sahaja caranya dan ia tetap bergantung pada diri mereka sendiri iaitu muhasabah diri. Barulah mereka ini akan sedar diri. Jika mereka merasakan mereka sahaja yang betul, mereka sahaja yang tahu, selagi itulah perubahan sikap itu tidak akan berlaku dan selagi itu lah perpecahan itu semakin berterusan dan sentiasa berterusan sehingga terhasilnya kumpulan-kumpulan tersendiri, puak-puak sendiri, tidak kira sama ada masyarakat mahupun politik.

Bukalah mata teman-teman sekalian, bukalah minda, bukalah hati. Adakah kita ini sempurna ilmu Nya? Sempurna harta Nya? sempurna jiwa Nya? Jika tidak kenapa perlu kita tidak menerima pakai pandangan dan teguran orang lain terhadap diri kita? Mudah-mudahan dengan pertemuan melalui penulisan ini, Allah memberi petunjuk dan hidayah untuk diri kita.

Renung-renungkan dan selamat beramal.

zp8497586rq


Comments are closed.

Welcome , today is Saturday, 03/12/2016